NotaBisnes Koleksi nota-nota mahal tentang konsep, strategi
dan taktik untuk mula dan kembangkan bisnes kita
3 Fasa Bisnes

3 Fasa Bisnes

Setiap bisnes kita, seperti hidupan yang lain, akan melalui fasa-fasa yang berbeza. Apabila bisnes berkembang melalui fasa-fasa ini, kita harus tahu kriteria dan amalan yang betul.

Ibarat seorang manusia, fasa bayi lain amalannya, fasa kanak-kanak lain fokusnya, fasa remaja lain pula yang dikejarnya, fasa dewasa pun lain.

Begitu juga dengan bisnes kita.

3 fasa bisnes adalah: Fasa Memulakan (Startup), Fasa Melicinkan (Systemize) dan Fasa Mengembangkan (Scale).

Mengapa penting kita tahu fasa-fasa ini?

Hanya kerana setiap fasa itu fokusnya berbeza, dan alat kerjanya juga berbeza! Maka, jangan kita guna alat kerja fasa startup semasa bisnes kita pada fasa melicinkan. Memang huru-haralah jadinya nanti!

Berikut adalah penerangan ringkas bagi setiap fasa:

1) Fasa Memulakan (Startup)

Fasa ini yang kerap kali kita dengar disebut-sebut dalam facebook ramai mentor-mentor usahawan. Mereka kerap kali kata ini fasa yang kritikal.

Memang begitu!

Statistik yang mengatakan 90% bisnes akan gagal pada 3 tahun pertama merujuk kepada bisnes-bisnes pada fasa ini.

Fasa startup ini menuntut survivality yang tinggi. Perlu ada daya tahan yang tinggi pada kita sebagai pengasas, dan juga pada bisnes kita sebagai sebuah sistem.

Apakah faktor utama yang melingkupkan bisnes pada fasa ini? —> Kehabisan modal pusingan. Paul Graham kata “Out of runaway”. Itu adalah faktor yang paling jelas. Namun ianya disumbangkan oleh banyak faktor-faktor kritikal yang lain. Modal pusingan habis kerana banyak sebab.

Sebab yang paling utama adalah produk kita tidak laku. Maka, modal banyak dibakar pada stok yang bertimbun dan juga kos operasi bulanan seperti gaji pekerja dan sewa kedai.

Kerana itulah mentor ramai berpesan untuk mulakan secara ‘lean’. Ya, dahulu kerap kita dengar ‘Lean Startup’. Salah satu ciri-ciri Lean Startup adalah kos operasi tahap minimum. Hanya dimulakan dengan apa sahaja yang ada pada founder. Duit modal hanya diusik sekiranya perlu.

Semua pengasas lean startup perlu ikat perut ambil gaji yang SANGAT minima, sekadar ada duit makan sahaja kadang-kadang. Mereka tidur di ofis sehinggalah mesin buat duit mereka (bisnes) mula mencetak wang untuk mereka “On Demand”. Setelah itu barulah mereka mengambil gaji setara dengan pasaran.

2) Fasa Melicinkan (Systemize)

Setelah mesin buat duit kita mula mencetak duit, dalam erti kata lain, kita sudah boleh jual produk kita dengan konsisten, fasa seterusnya adalah melicinkan operasi bisnes kita.

Fasa ini menuntut mereka yang mahir dalam membangunkan Standard Operating Procedure. Bunyinya sangat canggih, tapi jangan bimbang. SOP yang paling ringkas yang boleh kita buat adalah Check List, atau Senarai Semak yang pekerja hanya perlu tanda mengikut perkembangan tugas mereka.

Tujuan fasa ini ada 3: 1) Menjadikan hasil kerja konsisten dan boleh dipantau dengan mudah kualitinya dan 2) Memudahkan tugas-tugas menggajikan pekerja baru. 3) Menjadikan kita berupaya mengawal cetakan duit oleh mesin bisnes kita.

Ya, kita harus membangunkan dan efisenkan SOP kita sehingga ke tahap kita tahu berapa banyak keuntungan yang kita dapat mengikut bajet-bajet yang telah kita sediakan.

Dengan membangunkan SOP pada fasa ini juga kita akan mudah nampak lubang-lubang kebocoran pada sistem. Apabila kita nampak, kita boleh terus bertindak dengan menutup lubang-lubang tersebut.

Itulah kerja-kerja utama pada fasa ini.

3) Fasa Mengembangkan (Scale)

Inilah fasa yang paling seronok orang sembang di FB. Ini fasa yang paling indah dalam buat bisnes. Mengapa begitu? Kerana kerja-kerja fasa sebelum ini ibarat atlet yang sedang berlatih setiap hari, dan fasa mengembangkan ini adalah atlet sedang berada pada hari perlumbaan.

Inilah ‘game’ yang sebenar.

Fasa ini jugalah yang kita sebagai pemain kecil, rasa sangat pelik pada bisnes-bines yang sepertinya membakar duit dengan sia-sia.

Ya, fasa ini adalah fasa ‘bakar duit untuk buat lebih banyak duit’!

Fasa 1 dan 2 adalah fasa kita membina mesin duit yang paling hebat. Mesin duit yang kita masukkan RM 1 dan ia akan hasilkan RM 2. Mesin yang kita sangat mahir dan seterusnya yakin, apabila kita masukkan RM 100 ia akan hasilkan RM 200.

Maka pada fasa ini, kita cuba masukkan sebanyak mungkin duit ke dalam mesin tersebut!

Contohnya, pertama sekali kita masukkan RM 100, ia akan hasilkan RM 200.

Kita masukkan RM 200 ia akan hasilkan RM 400. RM 400 -> RM 800 -> Rm 1600 -> RM 3200 -> RM 6400 -> RM 12 800 -> RM 25 600 -> RM 51 200 -> RM 102 400 -> RM 204 800 -> RM 409 600 -> RM 819 200 -> RM 1 638 400 !

Lambat sangat nak dapat RM 1 juta? Carilah pemodal/investor yang boleh beri sebanyak mungkin modal, dan kita boleh skip lebih banyak pusingan modal di atas!

Ya, fasa inilah fasa yang paling sesuai kita cari investor. Bukan fasa startup!


Itulah 3 fasa membangunkan bisnes yang kita patut lalui dalam 5 tahun pertama kita memulakan bisnes kita. Ehem, 5 tahun ya. Bukanlah satu waktu yang singkat. Ada sahaja yang buat berjaya membangunkan bisnes mereka dalam masa setahun dua. Mereka itu pengecualian, bukan kebiasaan.

Seperti yang disebut tadi, setiap fasa ini berbeza-beza fungsinya, dan berbeza-berza alat dan gerak kerjanya. Maka, kita perlu tahu bisnes kita pada fasa mana agar mudah untuk kita kerjakan ia dan bawa ke fasa seterusnya.

PESANAN PENAJA
Nota penting ini seeloknya disimpan untuk bacaan kemudian hari. Cara paling mudah: share nota ini di Facebook / Twitter tuan-puan sekalian. Senang nak baca lepas ini. Klik pada butang Facebook (dan lain-lain) di sebelah kiri paparan ini. Ia akan bantu tuan-puan share ke social media yang tuan-puan pilih.

Secara tidak langsung, rakan-rakan kita boleh turut baca juga!

Maklumat Penulis

Izwan Robotys adalah pengkaji dan penguji teknik dan strategi pelbagai perkara bisnes. Kajian dan ujian berbentuk hands on dengan disiplin dan perincian kejuruteraan. Fokus dalam menerangkan konsep bisnes kompleks dan abstrak dalam bentuk yang jelas dan terang.