NotaBisnes Koleksi nota-nota mahal tentang konsep, strategi
dan taktik untuk mula dan kembangkan bisnes kita
5 Mindset Untuk Mula Bisnes Bagi Orang Makan Gaji

5 Mindset Untuk Mula Bisnes Bagi Orang Makan Gaji

Ini adalah panduan khusus bagi mereka yang makan gaji tetapi mahu mula bina bisnes. ‘Bisnes’ yang dimaksudkan di sini adalah satu entiti syarikat yang akhirnya akan berkembang dan menguasai sebahagian besar pasaran.

Bukannya bisnes yang hidup segan mati tak mahu, yang dibangunkan sekadar untuk memberi ‘gaji’ kepada owner: orang makan gaji tadi.

Iyalah, apa guna buat bisnes tetapi akhirnya kita kerja macam orang makan gaji juga!

Yang membawa kita kepada persediaan paling utama yang perlu kita lakukan: UBAH MINDSET.

Mindset usahawan jauh berbeza daripada mindset orang makan gaji. Kerana itulah usahawan mampu menahan segala cabaran dan menempuh segala halangan untuk membina bisnes mereka.

Jika kita buat bisnes dengan mindset orang makan gaji, maka melingkuplah jawapannya.

Ada banyak mindset usahawan yang kita perlu bangunkan dalam diri kita jika betul kita mahu berjaya dalam berubah menjadi usahawan daripada seorang yang makan gaji. Berikut adalah beberapa mindset yang penting:

1) Ikat perut, tahan nafsu berbelanja
2) Bayar duit orang lain dahulu, baru bayar diri sendiri
3) Asingkan duit bisnes daripada duit pakai sendiri
4) Sendiri buat (atau TAK BUAT), sendiri tanggung
5) Siapkan kerja yang dijadualkan

Itulah dia. Setiap satu mindset di atas lebih kepada panduan untuk membina disiplin diri usahawan yang betul. Tanpa disiplin di atas, bisnes yang dibina tidak mungkin survive, apatah lagi membesar dengan baik.

Jika kita tidak belajar ikat perut dan tahan nafsu berbelanja, sampai bila-bila pun duit yang kita dapat tidak akan cukup. Bisnes pada fasa awal perlukan suntikan modal pusingan. Orang makan gaji selalu anggap yang duit hasil jualan adalah duit milik mereka.

Itu salah. Duit jualan adalah milik bisnes kita. Bisnes kita berhak pusing semula semua duit jualan tadi untuk membesar. Sebab itulah kita sebagai orang yang menjalankan bisnes perlu ikat perut (pada fasa awal) agar semua duit jualan boleh dipusingkan semula jadi modal bisnes yang baru.

Mindset yang kedua adalah bayar segala bil dan hutang terlebih dahulu, selebihnya barulah dipusingkan semula jadi modal baru. Jika tidak cukup, atau semakin habis? Bagus, itu tandanya kita ada masalah Costing. Kita salah kira. Maka kita kira semula, dan putuskan adakah masih berbaloi untuk diteruskan. Adakah masih ada cara yang boleh buat untung. Jika tiada, maka cari produk lain untuk dijual. Tidak perlu tutup bisnes tersebut.

Mindset ketiga adalah perangkap paling besar bagi mereka yang mula bisnes mereka semasa mereka makan gaji: tidak asingkan duit bisnes dengan duit kegunaan sendiri. Maksudnya, duit bisnes dan duit sendiri dimasukkan dalam akaun bank yang sama.

Itu pantang besar. Paling besar sekali. Buat akaun baru untuk kegunaan bisnes. Pergi ke kaunter bank akaun simpanan kita dan mohon untuk buka akaun semasa. Gunakan akaun semasa untuk bisnes manakala akaun simpanan untuk kegunaan sendiri. Semua duit jual-beli bisnes gunakan akaun semasa. Hanya apabila hujung bulan baru kita masukkan gaji yang telah tetapkan daripada bisnes kita ke akaun simpanan daripada akaun semasa.

Selagi kita tidak asingkan duit bisnes (dan tetapkan gaji sendiri) maka selagi itulah kita tidak nampak perjalanan cashflow bisnes kita. Cashflow tercekik confirm bisnes (dan kita sekali) melingkup.

Mindset keempat adalah mindset tentang membuat keputusan. Bisnes adalah rantaian keputusan yang kita buat. Setiap perkara yang kita putuskan untuk buat, dan juga setiap perkara yang kita abaikan daripada membuatnya akan memberi kesan kepada bisnes kita. SETIAP PERKARA, tiada pengecualian.

Maka, jika kita salah buat keputusan dan bisnes huru-hara, cashflow tercekik dan hutang keliling pinggang, maka sendirilah tanggung. Jangan salahkan orang cina, orang putih, PM, sedara, partner, pesaing semua tu.

Salahkan diri sendiri. Kemudian fikir dan usahakan jalan penyelesaian sendiri. Orang lain tidak bertanggungjawab atas keputusan yang kita buat.

Mindset terakhir ini pula adalah mindset yang paling ramai orang makan gaji yang beria-ia mahu buka bisnes akan melingkup: siapkan kerja ikut jadual. Semasa kita makan gaji, kita hanya setakat kena marah dengan bos jika kerja tidak siap, gaji tetap masuk macam biasa.

Semasa buat bisnes, jika kerja tidak siap kita tidak akan dapat duit. Tiada duit macamana nak bayar hutang dan bil dan gaji. Kalau tak bayar hutang nanti semua kena potong maka macamana nak buat duit?

Implikasi ‘tidak siap kerja’ sangat besar kepada bisnes. Maka kita kena ada disiplin yang tinggi untuk siapkan bisnes seperti yang dijanjikan/dijadualkan.

Itu 5 mindset yang perlu ada bagi mereka yang makan gaji dan mahu mula bisnes. Ubah mindset adalah perkara pertama yang perlu kita lakukan jika kita mahu mula bisnes.

Yang menariknya adalah: Kita tidak perlu terjun buat bisnes dan berhenti kerja untuk membina mindset-mindset di atas. Kita boleh belajar dan berlatih ubah mindset dengan buat bisnes secara part-time sahaja.

Semasa buat bisnes part-time tersebut, fokus pada membina mindset terlebih dahulu. Apabila mindset kita betul, tindakan kita pun akan jadi betul. Apabila tindakan kita betul, bisnes kita akan membangun. Apabila bisnes kita membangun, cashflow bisnes akan cantik yang akhirnya membolehkan kita full-time dengan bisnes tersebut.

Ya, perubahan tidak berlaku mendadak. Ia berlaku secara beransur-ansur daripada makan gaji, makan gaji + bisnes part time kepada bisnes full time.

ps: Biasa yang berlaku, kita masih makan gaji dan kita sudah berjaya bina mindset yang bagus, akibatnya hasil kerja kita lebih bagus dan bos sukakan kita. Bos naikkan pangkat dan naikkan gaji! Ini kerana mindset usahawan tadi sebenarnya adalah mindset bekerja yang sebenar. Selama ini kita sebenarnya lemau, bukan pekerja yang bagus kerana tiada mindset yang betul!

PESANAN PENAJA
Nota penting ini seeloknya disimpan untuk bacaan kemudian hari. Cara paling mudah: share nota ini di Facebook / Twitter tuan-puan sekalian. Senang nak baca lepas ini. Klik pada butang Facebook (dan lain-lain) di sebelah kiri paparan ini. Ia akan bantu tuan-puan share ke social media yang tuan-puan pilih.

Secara tidak langsung, rakan-rakan kita boleh turut baca juga!

Maklumat Penulis

Izwan Robotys adalah pengkaji dan penguji teknik dan strategi pelbagai perkara bisnes. Kajian dan ujian berbentuk hands on dengan disiplin dan perincian kejuruteraan. Fokus dalam menerangkan konsep bisnes kompleks dan abstrak dalam bentuk yang jelas dan terang.