NotaBisnes Koleksi nota-nota mahal tentang konsep, strategi
dan taktik untuk mula dan kembangkan bisnes kita
6 Cara Meningkatkan Value Dalam Bisnes atau Produk Kita

6 Cara Meningkatkan Value Dalam Bisnes atau Produk Kita

Setelah kita tahu tentang kepentingan mengenalpasti Value bisnes kita, kita akan sedar yang terdapat situasi di mana value bisnes kita lebih rendah daripada pesaing kita.

Apa langkah-langkah yang boleh kita buat? Paling mudah adalah kita perlu menambah atau meningkatkan value dalam bisnes ataupun produk kita.

Secara ringkasnya, terdapat 6 cara bagi meningkatkan value dalam bisnes atau produk kita iaitu:

1) Masa (cepat)

Apabila kita mempercepatkan apa sahaja tentang bisnes kita ataupun produk kita, ia menambah nilai kepada bisnes kita.

Contohnya: produk kita memberi kesan jauh lebih pantas. Atau bisnes kita lebih pantas memproses order lalu produk lebih cepat sampai ke tangan customer.

2) Jaminan

Jaminan adalah cara yang paling mudah dan biasanya paling murah dalam menambahkan value. Bagaimana pula jaminan, yang sekadar ‘pakej’ ini mampu memberikan value yang luar biasa?

Kerana pembeli adalah manusia yang paling takutkan risiko. Apabila mereka membeli, mereka mengambil risiko untuk mencuba produk kita. Duit mereka sudah pasti hangus apabila mereka membeli daripada kita.

Mekanisma Jaminan dengan mudah mengalihkan risiko daripada pembeli kepada penjual. Oleh yang demikian, pembeli tidak perlu fikir tentang risiko. Jika tiada risiko, tiada salah bagi pembeli untuk mencuba!

3) Mudah

Apabila produk kita mudah digunakan, atau berurusan dengan bisnes kita itu mudah, tidak banyak songeh, pembeli akan menerima value yang jarang kita nampak: ‘tidak serabut’.

Apabila mudah bagi pembeli mendapatkan produk kita, maka lebih ramai mereka akan membeli.

Mudah itu sendiri menjadi value yang tinggi pada mereka.

Biasanya, cara ini (mudah) lebih disukai pelanggan premium atau pelanggan VVIP. Mereka tidak mahu semak kepala memikirkan benda lain selain perkara yang mereka pilih untuk semakkan kepala.

4) Banyak

Jika cara mudah di atas digemari pelanggan Premium, cara Banyak ini pula digemari oleh pelanggan kebanyakan.

Banyak di sini maksudnya ‘volume’. Apabila pelanggan membeli, mereka dapat lebih banyak unit berbanding penjual lain.

Apabila pelanggan dapat lebih banyak unit, secara tidak langsung mereka akan rasa berbaloi membeli daripada kita. Value yang jelas di situ.

Cara ini juga sangat berkesan apabila produk yang kita tawarkan tidak boleh dikurangkan harga. Ini menjadikan harga kita adalah satu alat perbandingan yang jelas.

Contohnya, harga pesaing kita adalah RM10 untuk 3 unit produk. Harga kita pula adalah RM10 untuk 5 unit produk. Pastinya dengan jelas pelanggan nampak value pakej kita itu.

Rahsia cara ‘banyak’ ini adalah: kita boleh sahaja beri produk lain bagi menambah unit produk yang pelanggan beli. Contohnya ‘Beli 2 ubat gigi percuma 2 berus gigi’. Tidak semestinya produk yang sama!

5) Murah

Cara paling kita semua sedia maklum, dan bersepah-sepah pesaing kita gunakan.

Ya, ia boleh menambah value, tetapi ia semakin kurang berkesan kerana semua penjual menggunakan taktik ini.

Malah, cara ‘murah’ ini juga mengandungi taktik yang paling dibenci oleh mana-mana bisnes: ‘Perang Diskaun’.

Harus diingat, apabila kita menggunakan cara ‘murah’, pastikan kita boleh buat keuntungan dalam jangka masa panjang juga. ‘Diskaun harga’ adalah alat jualan jangka masa pendek. Biasanya, kesan buruk alat jualan ini adalah pelanggan dalam pasaran sudah ‘locked’ harga produk tersebut pada harga diskaun.

Mereka tidak akan membeli apabila harga lebih daripada harga diskaun.

Akibatnya seluruh industri perlu cari cara lain untuk buat duit dalam jangka masa panjang.

6) Seronok

Ini adalah cara meningkatkan value yang menarik. Kita boleh menambahkan perkara yang menyeronokkan bagi meningkatkan value produk kita ataupun bisnes kita.

Contohnya, produk kita mempunyai side effect yang menarik (gula2 NANO yang sangat masam akan buatkan muka mereka yang makan kelihatan sangat kelakar). Atau mungkin sahaja bisnes kita memang kelihatan sangat menyeronokkan pada pandangan pelanggan (Ofis Google, Budaya Mindvalley).

Seronok itu tidak semestinya datang daripada kelakar dan ketawa. Perkara-perkara yang mengujakan juga boleh menghasilkan perasaan seronok. Seperti teruja menerima hadiah yang tidak disangka-sangka apabila membeli produk kita.


Ini adalah koleksi kecil cara meningkatkan value bisnes kita. Ada banyak lagi cara lain jika kita fikir dengan bersungguh-sungguh.

Apakah cara lain yang tetuan ada terfikir, atau sedang tetuan lakukan? Tulis pada satu kertas dan lekatkan pada tempat yang mudah dilihat. Ia akan jadi mudah untuk kita implement ke dalam bisnes kita.

PESANAN PENAJA
Nota penting ini seeloknya disimpan untuk bacaan kemudian hari. Cara paling mudah: share nota ini di Facebook / Twitter tuan-puan sekalian. Senang nak baca lepas ini. Klik pada butang Facebook (dan lain-lain) di sebelah kiri paparan ini. Ia akan bantu tuan-puan share ke social media yang tuan-puan pilih.

Secara tidak langsung, rakan-rakan kita boleh turut baca juga!

Maklumat Penulis

Izwan Robotys adalah pengkaji dan penguji teknik dan strategi pelbagai perkara bisnes. Kajian dan ujian berbentuk hands on dengan disiplin dan perincian kejuruteraan. Fokus dalam menerangkan konsep bisnes kompleks dan abstrak dalam bentuk yang jelas dan terang.