NotaBisnes Koleksi nota-nota mahal tentang konsep, strategi
dan taktik untuk mula dan kembangkan bisnes kita
Cara Saintifik Bagi Mengesahkan Kombinasi Market - Media - Mesej

Cara Saintifik Bagi Mengesahkan Kombinasi Market – Media – Mesej

Jangan pula tetuan risau. Namanya sahaja yang canggih, caranya mudah sahaja.

Namanya adalah SPLIT TESTING.

Split Testing adalah teknik menguruskan kempen marketing kita agar ianya bersifat saintifik, iaitu ianya boleh di ulang semula dengan kesan yang sama.

Maksudnya, jika kita buat semula kempen tersebut, ia akan memberi kesan yang kita boleh jangkakan.

Asas kepada teknik Split Testing adalah ‘memudahkan perbandingan’. Bagaimana kita mahu tahu satu-satu kempen marketing kita berkesan? Mudah: bandingkan dengan kempen yang KITA TAHU tahap keberkesanannya sebagai penanda aras.

Contohnya, kita mahu hasilkan kempen iklan yang mencapai 7% conversion rate. Maksudnya, daripada 100 orang yang baca/tonton iklan kita, paling kurang 7 orang yang respons kepada Call To Action iklan tersebut. 7/100 = 7%. Call to Action adalah respons yang kita mahu mereka lakukan.

Err, semakin banyak pula jargon copywriting yang keluar!

Tidak mengapa, cuba ikut rapat contoh berikut. Ia akan ‘make sense’ nanti.

Kita ambil satu contoh, Nasi Lemak Sedap Kenyang. Kini Nasi Lemak Sedap Kenyang mahu melebarkan lagi customer base mereka dengan cara pengiklanan.

Nasi Lemak Sedap Kenyang sudah sedia jelas dengan Value mereka, iaitu “Sedap dan Kenyang”. Daripada value tersebut, mereka memutuskan Customer Avatar yang paling sesuai adalah Pelajar Universiti. Ini kerana pelajar universiti terkenal sebagai mereka yang suka makan kerana nak kenyang berbanding makan kerana nak sedap.

Ada juga cadangan lain iaitu Pekerja Kilang. Mereka ini juga DIJANGKA sukakan nasi lemak yang mengenyangkan.

Jadi, apa yang kita sebagai Geng NLSK (Nasi Lemak Sedap Kenyang) lakukan adalah mereka memilih 2 market ini sebagai bahan ujikaji awal. 2 market ini adalah ‘pembolehubah’. Selain daripada pembolehubah ini, yang lain (Media dan Mesej) dikekalkan.

Maka kita akan ada 2 flyers yang perlu dicetak. Satu untuk market Pelajar Universiti dan satu lagi untuk Pekerja Kilang.

Setiap Split Testing haruslah boleh direkodkan maklumat-maklumat respons mengikut pembolehubah yang diuji. Maka, pada iklan tadi, NLSK merekod perbezaan respons dengan cara merekod sms tempahan mengikut kod yang berbeza.

Contohnya, pada iklan Pelajar, Call to Action (ayat respons) adalah “SMS #KAMILAPAR ke 0167893455 untuk penghantaran pantas sekarang!” manakalah pada iklan Pekerja Kilang, ayat responsnya adalah “SMS #NGAP ke 0167893455 untuk penghantaran pantas sekarang”.

Nampak? Kita bezakan kedua-dua iklan tersebut hanya pada keyword dalam SMS.

Terdapat pelbagai cara untuk mengesan respons yang berbeza-beza. Terpulang pada kreativiti kita. Dan ya, cara paling mudah adalah teknik keyword pada SMS/Wassap.

Maka, setelah kita cetak sama banyak untuk kedua-dua market (1000 helai setiap satu) maka kita pun sebarkan mengikut lokasi masing-masing.

Dalam masa 3 atau 4 hari, kita akan menerima respons yang kita perlukan. Contohnya, setelah 4 hari, terdapat 25 sms #KAMILAPAR (pelajar) dan ada 90 sms #NGAP (pekerja kilang). Ini bermaksud market pekerja kilang lebih responsif kepada iklan kita.

Kita yakin data tersebut betul kerana faktor yang lain semuanya tidak berubah. Design iklan sama, copywriting iklan sama, jumlah edaran flyers sama, waktu edaran pun sama. Yang berbeza hanyalah lokasi edaran flyers tadi.

Maka hasil daripada split testing ini dapat NLSK simpulkan bahawa market pekerja kilang lebih berbaloi untuk dijadikan market fokus. Maka NLSK telah mengesahkan komponen ‘Market’ yang sesuai bagi kempen marketing untuk NLSK adalah pekerja kilang.

Err, tapi tuan, saya ada banyak lagi idea market saya. Bukan dua sahaja!

Haaa, lebih bagus! Split Testing tidak semestinya pada 2 variasi sahaja. Kita boleh test untuk banyak variasi. Tetapi pastikan semua variasi tersebut hanya pada SATU komponen 3M sahaja.

Contohnya, kita boleh test variasi Pelajar Universiti, Pekerja Kilang, Suri Rumah, Budak Sekolah dan sebagainya kerana semua variasi tersebut adalah terletak dalam komponen Market.

Kita tidak boleh test Pelajar Universiti (Market), Pekerja Kilang (Market) dan Poster Warna Kuning (Mesej), kerana ianya tidak sama komponen!

Hasil setiap split testing seharusnya menjurus kepada kita mengesahkan KOMPONEN 3M yang pasti berkesan. Jika tidak, ia bukanlah split testing yang sebenar.

PESANAN PENAJA
Nota penting ini seeloknya disimpan untuk bacaan kemudian hari. Cara paling mudah: share nota ini di Facebook / Twitter tuan-puan sekalian. Senang nak baca lepas ini. Klik pada butang Facebook (dan lain-lain) di sebelah kiri paparan ini. Ia akan bantu tuan-puan share ke social media yang tuan-puan pilih.

Secara tidak langsung, rakan-rakan kita boleh turut baca juga!

Maklumat Penulis

Izwan Robotys adalah pengkaji dan penguji teknik dan strategi pelbagai perkara bisnes. Kajian dan ujian berbentuk hands on dengan disiplin dan perincian kejuruteraan. Fokus dalam menerangkan konsep bisnes kompleks dan abstrak dalam bentuk yang jelas dan terang.