NotaBisnes Koleksi nota-nota mahal tentang konsep, strategi
dan taktik untuk mula dan kembangkan bisnes kita
Formula 3 Tindakan Yang Buat Kita Capai Sasaran

Formula 3 Tindakan Yang Buat Kita Capai Sasaran

Jika ada 3 perkara yang dikatakan tonggak kepada semua perkara yang notabisnes tekankan untuk usahawan fahami dan amalkan, ianya adalah: bertindak, berfikir, berubah.

BFU = Buat + Fikir + Ubah

Ya, buat dahulu. Bertindak dahulu. Setelah bertindak barulah kita berfikir apa yang boleh diperbaiki dalam tindakan kita tadi yang kemudian menjadi perubahan dalam tindakan kita yang seterusnya.

Buat

Bertindak

Mulakan dengan buat. Buat sesuatu adalah jauh lebih baik daripada berfikir tanpa berbuat apa-apa. Buat sesuatu jauh lebih baik daripada bercakap-cakap dan berdebat tanpa ada tindakan, atau tanpa berniat mahu buat tindakan.

“Aku cakap je ni, nanti kau kena buat tahu.”

Berapa ramai kita yang terperangkap dalam mindset di atas. Hanya berfikir, berdebat, meeting tak sudah tetapi tetap tiada hasil.

Semata-mata kerana lebih banyak cakap daripada buat.

Mulut ada satu, otak ada satu, tetapi tangan dan kaki ada empat!

Buat dan bertindak seharusnya lebih daripada kita cakap.

Dan bertindak yang paling mudah, paling rendah risikonya dan paling murah harganya adalah: menulis.

Tulis dahulu semua yang kita fikirkan, semua idea yang terlintas atas kertas atau dalam komputer. Asalkan tangan kita bergerak menulis, maka itu sudah dikira satu tindakan.

Bercakap bukan tindakan. Kerana ‘tindakan’ adalah apa yang dilakukan oleh tangan dan kaki kita. Itu simbol tindakan yang sebenar.

Dalam pasukan, jika kita ketua mungkin bukan kita yang buat tindakan. Tetapi tetaplah perlu ada ahli dalam pasukan yang perlu gerakkan kaki dan tangan.

Dan jika perasan, perkataan ‘staf’ dalam bahasa melayu adalah ‘kakitangan’ yang menjadi simbol kepada ‘bertindak’. Maka, jika kita hanya ada staf yang lebih banyak meeting daripada bergerak kaki dan tangan mereka maka jelas bahawa pasukan tersebut lebih banyak cakap berbanding bertindak.

Fikir

Berfikir

Tindakan kita sebelum ini pasti ada menghasilkan sesuatu. Samada berjaya atau gagal mencapai objektif. Objektif zaman kini biasanya disebut dipanggil ‘KPI’. KPI menjadi tanda aras yang harus dicapai oleh tindakan kita.

Kali pertama kita bertindak pastinya jarang mencapai tanda aras tersebut. Kerana itulah kita perlu berfikir akan perkara lain yang boleh kita ubah untuk mencapainya dalam tindakan seterusnya.

Berfikir adalah kerja yang ‘menggandakan’ hasil perbuatan kita sebelum ini. Memang ianya sesuatu yang sangat penting, tetapi penting juga juga bertindak atas buah fikiran tadi.

Tanpa tindakan, tiada apa yang boleh digandakan oleh berfikir tadi.

Tiada tindakan = 0, jika digandakan 100 kali ganda oleh fikiran yang bijak tetaplah 0 hasilnya.

Pendek kata, tindakan dan berfikir harus seiring, barulah hasilnya berganda-ganda.

Tiada salah satu yang lebih penting antara bertindak dan berfikir. Dua-dua sama penting sepertimana pentingnya kaki kanan kepada kaki kiri. Tanpa salah satu maka ‘hasil’ perjalanan kita tentunya lebih sukar dan lebih menyusahkan.

ubah

Berubah

Setelah kita buat tindakan yang tidak mencapai objektif, lalu kita fikir penambah baikan, jelas bahawa kita perlu ubah tindakan kita dalam proses seterusnya.

Tindakan yang sama hanya akan menghasilkan output yang sama.

“Craziness is doing the same thing while expecting different result.”

Itu kata-kata Albert Einstein.

Berubah di sini adalah tindakan yang berubah. Bermaksud kita tetap perlu bertindak atas idea perubahan kita tadi.

Sekadar fikir apa mahu diubah tetapi tidak buat tindakannya maka kita tidak akan bergerak lebih dekat ke arah objektif kerja kita.

Lebih malang lagi, lepas berfikir kita give up dan langsung tidak berbuat apa-apa. Sah-sah memang tidak akan ada hasilnya.

Hakikatnya adalah semua perkara akan berubah di dunia ini. Tiada yang akan kekal.

“The only contant is change.”

Maka kita seharusnya terima hakikat tersebut dan sentiasa bertindak dan berfikir untuk kekal mencapai objektif.

Sepertimana nakhoda yang sentiasa belayar mengikut perubahan cuaca tetapi tetap sampai ke destinasi yang dituju.


Itulah 3 tonggak utama notabisnes yang menjadi asas kepada mana-mana perkara yang dilakukan. Harus bertindak dahulu, kemudian fikir apa yang boleh diubah dan kemudian bertindak semula dengan perubahan baru itu.

Hasilnya nanti, lambat laun akan kita capai juga objektif yang telah kita sasarkan. Tidak kiralah mahu RM 1 Juta jualan dalam bisnes ataupun mencapai skroll dan anugerah PHD dalam akademik kita.

Fokus pada progress, kita akan sampai ke sasaran kita juga nanti.

Share artikel ini sekarang untuk bacaan akan datang!

Share →
——