NotaBisnes Koleksi nota-nota mahal tentang konsep, strategi
dan taktik untuk mula dan kembangkan bisnes kita
Jenis-jenis Pelaburan Dalam Kewangan Peribadi

Jenis-jenis Pelaburan Dalam Kewangan Peribadi

Kita sudah tahu Pelaburan itu penting dalam membesarkan modal. Kita juga sudah tahu dividen daripada pelaburan boleh jadi aliran pendapatan yang positif yang sentiasa mengalir setelah modal kita cukup besar.

Maka kita juga harus faham terdapat banyak jenis pelaburan yang kita boleh jalankan.

Apa-apa pun yang berlaku, pelaburan seharusnya bermula dengan pelaburan ke atas diri sendiri. Itulah jenis pelaburan yang pertama:

Pertama: Pelaburan Ke atas Diri Sendiri

Apakah contoh pelaburan ke atas diri sendiri?

  1. Membeli buku yang memberi nilai tambah ke atas diri
  2. Menyertai seminar/coaching yang meningkatkan nilai diri
  3. Perkara yang membantu kita berkawan-kawan dengan mereka yang memberi manfaat kepada kita.
  4. Mencari dan Berguru dengan mentor yang mampu membawa kita meniti jalan kewangan yang lurus.
  5. Perkara yang membantu kita mengembangkan kewangan dengan efektif
  6. Perkara yang membuatkan kita gembira

Dan banyak lagi!

Konsep utama pelaburan ke atas diri sendiri adalah “Meningkatkan Nilai Diri”. Maka, apa-apa sahaja yang meningkatkan nilai diri kita dari dalam diri, dan juga dari faktor luaran, ia termasuk dalam pelaburan ke atas diri sendiri.

Oleh kerana pelaburan jenis ini amat penting, kita boleh gunakan lebihan (Surplus) setiap bulan untuk aktiviti pelaburan ini. Kerana inilah pelaburan pertama kita lama sebelum pelaburan kewangan mula menampakkan hasil.

Pelaburan jenis ini juga banyak yang tidak melibatkan wang ringgit. Ada banyak jenis modal yang boleh digunakan bagi mendapatkan ilmu. Antara lain adalah Modal Sosial, Modal Budi dan juga Modal Ilmu.

Kedua: Pelaburan Saham

Ini adalah sejenis pelaburan yang sangat misteri pada ramai orang. Kerana ramai yang pernah dengar dengan pelaburan saham. Setiap hari nampak angka turun naik saham dalam akhbar. Namun tiada siapa pun disekeliling yang jelas nampak melabur dengan betul dalam saham.

Jika ada yang kita kenal pun, kebanyakannya adalah ‘traders’, bukan ‘investors’.

Ya, kedua-dua itu sangat berbeza.

Traders adalah mereka yang buat duit dengan saham melalui naik-turun harian harga saham. Setiap hari setiap jam perlu melihat graf saham agar tidak terlepas tingkat beli yang ditentukan. Traders ini kerjanya penat dan tiada masa. Sama sahaja jika kita kerja makan gaji!

Investors pula buat duit dengan membeli saham ketika nilai saham bisnes tersebut lebih rendah daripada nilai sebenar syarikat tersebut. Investor hanya perlu menyemak graf saham seminggu sekali, dan update kumpulan syarikat yang dilaburkannya pada masa itu sahaja. Kerjanya lebih tenang dan banyak masa untuk keluarga!

Ilmu menjadi investor yang berjaya adalah ilmu bisnes. Iaitu kita perlu belajar dan mahir membaca dan menganalisa segala penyata akaun dan nombor-nombor yang dilaporkan oleh syarikat kepada umum. Ya, tidak mudah tetapi ianya boleh dipelajari.

Investor yang saya kenal dalam FB adalah Tuan Pakdi (Suzardi Maulan). Kerana itulah saya suka jika tetuan berkenal dan berbaik dengan beliau. 🙂

Ketiga: Pelaburan Hartanah

Ini pun sama kes dengan Pelaburan Saham. Punya ramai orang tahu pelaburan hartanah adalah sesuatu yang menguntungkan, tetapi kita sering tertanya-tanya, siapakah yang pernah atau sedang melabur dalam hartanah?

Memang menjadi fitrah pelabur, mereka akan tersenyum dan tersengih sahaja apabila ditanyakan periha pelaburan mereka. Kerana itulah sukar bagi kita memahami dengan mendalam perihal pelaburan hartanah.

Cabaran pelaburan hartanah bagi kebanyakan orang adalah ‘mind barrier’. Membeli satu aset hartanah menjadikan otak rakyat marhaen ‘jammed’ melihat begitu banyak angka kosong pada harga hartanah tersebut. Maka tanpa ilmu yang betul atau bimbingan mentor yang berkesan, pelabur baru selalu membuat keputusan yang tidak efektif.

Malah, pelaburan hartanah mempunyai begitu banyak ceruk dan lubang yang jika diketahui ia amat membantu pelabur hartanah membesarkan modal kewangan dengan pantas dan selamat.

Ehem, saya tidak tahu segala ceruk dan lubang-lubang tersebut. Itu hanya konklusi saya setelah memerhatikan pasaran hartanah dan pelabur-pelabur hartanah yang saya kenali.

Keempat: Pemodal Bisnes

Ramai kita yang tahu berniaga dan berbisnes mampu menjana pendapatan yang besar. Namun tidak ramai yang tahu ada segolongan pelabur yang khusus melabur dalam bisnes semata-mata. Mereka inilah pemodal bisnes.

Mekanisme Pemodal bisnes adalah mudah. Mereka melaburkan wang ringgit ke dalam syarikat dengan mendapat pegangan saham. Saham tersebut dinilai pada nilai syarikat semasa, maka ia pastinya rendah. Iyalah, syarikat baru bermula dan belum berkembang, pastinya kurang bernilai.

Namun apabila syarikat tersebut sudah berkembang dan matang, nilai baru syarikat tersebut mampu mencecah 1000 kali lipat daripada nilai sebelumnya.

Bermakna pelaburan wang ringgit pemodal bisnes tadi juga sudah berkembang 1000 kali lipat!

Lebih molek lagi, syarikat berkembang (atau mati) dengan sangat pantas. Paling lambat pun sekitar 5-6 tahun.

Inilah yang menarik pemodal bisnes untuk melabur ke dalam bisnes.

Kita juga boleh lihat, Pelabur Saham dan Pemodal Bisnes melabur ke dalam perkara yang sama (bisnes) tetapi pada fasa bisnes yang berbeza. Pemodal Bisnes melabur pada fasa ‘start’ bisnes tersebut. Bisnes yang baru bermula. Manakala Pelabur Saham melabur pada fasa ‘scale’, fasa bisnes tersebut sedang berkembang atau fasa bisnes matang.

Maka ilmu asas melabur dalam saham dan ilmu pemodal bisnes lebih kurang sama. Yang membezakan adalah fokus ilmu2 tersebut.

Ilmu melabur saham fokus pada nombor-nombor laporan bisnes. Ilmu pemodal bisnes fokus pada manusia yang menjalankan bisnes tersebut.


Itulah empat jenis pelaburan yang boleh kita lihat dan pelajari agar kita boleh memanfaatkannya menjadi alat kerja mengembangkan modal dan seterusnya menjana pendapatan.

Melabur adalah kerja yang mudah jika kita cukup ilmu, berdisiplin dan tegas dalam membuat keputusan. Ia jadi susah apabila kita dikaburi dengan sentimen permainan psikologi luaran dan dalaman.

Pegang mantra berikut jika mahu selamat:

“Buy Low Sell High”

Selagi kita perpegang pada matra di atas, kita akan selamat dalam pelaburan kita.
ps: Tetuan sedang melabur ke atas apa? 1) Diri Sendiri 2) Saham 3) Hartanah 4) Bisnes …. jom kongsi dalam ruangan komen:

pps: Mohon Share untuk manfaat rakan-rakan fb kita juga! Sebelah kiri ini ada butang share. 😀

PESANAN PENAJA
Nota penting ini seeloknya disimpan untuk bacaan kemudian hari. Cara paling mudah: share nota ini di Facebook / Twitter tuan-puan sekalian. Senang nak baca lepas ini. Klik pada butang Facebook (dan lain-lain) di sebelah kiri paparan ini. Ia akan bantu tuan-puan share ke social media yang tuan-puan pilih.

Secara tidak langsung, rakan-rakan kita boleh turut baca juga!

Maklumat Penulis

Izwan Robotys adalah pengkaji dan penguji teknik dan strategi pelbagai perkara bisnes. Kajian dan ujian berbentuk hands on dengan disiplin dan perincian kejuruteraan. Fokus dalam menerangkan konsep bisnes kompleks dan abstrak dalam bentuk yang jelas dan terang.