NotaBisnes Koleksi nota-nota mahal tentang konsep, strategi
dan taktik untuk mula dan kembangkan bisnes kita
Kisah Siti Kira Kos Bisnes (CPS)

Kisah Siti Kira Kos Bisnes (CPS)

Ini sambungan kisah Siti kira CPS yang viral di thevocket tulisan Cik Mal. Ramai juga yang PM dan tanya beberapa perkara.

Mari kita lihat bagaimana CPS bantu Siti selesaikan kemelut bisnes beliau:


Siti kelihatan fokus di meja makan. Merenung skrin laptop yang penuh teks dan angka-angka menunjukkan cara kira kos yang betul. Khusyuk beliau menatap ebook Panduan Kira CPS daripada Siri Notabisnes.net itu.

Bukan Siti Yang Kira CPS

Bukan, bukan Siti yang ini yang tengah kira CPS. Fokus!

Beliau ambil kertas kosong dan pen lalu mula mengira CPS beliau.

“Aku jual satu shawl pada harga RM 25, sebulan dapat jual 100 helai. Modal beli sehelai shawl: RM 15. Seratus helai jadilah RM 1500. Ini jatuh bawah kos production.” Siti mencatat pada kertas tersebut, Kos Produk = RM 1500.

“Kos Overhead ialah semua bil-bil, sewa dan duit keluar bulanan yang disentuh oleh produk yang dijual.” Muka Siti berkerut baca ayat di skrin laptop.

“Kalau aku berniaga ni dari rumah dan guna telefon/kereta aku, maksudnya, semua tu termasuk jugalah dalam overhead. Dan internet, phone semua. Aduh!” Riak wajah Siti semakin berkerut.

Beliau senaraikan semua bil-bil yang biasa dibayar setiap bulan. Telefon, sewa, internet, minyak kereta.

“Total kos overhead: RM 1260. Uih, tinggi juga.”

“Nasib baik aku tidak guna iklan FB ads. Hanya fokus pada friends & follower FB sahaja! Maka aku tiada kos iklan.” Siti tersenyum saja sambil mencatat pada kertas, Kos Iklan = RM 0.

“Jadi, untuk dapat CPS, tambahkan semua kos, dan bahagi jumlah tudung terjual. Hmmmmm. Mana pulak kalkulator aku ni.”

Siti memunggah beg tangan beliau lalu membuka apps kalkulator pada telefon.

“Kos Produk tambah Kos Overhead tambah Kos Iklan, RM 1500 + RM 1260 + RM 0, dapat RM 2760.” Siti catat angka tersebut pada kertas.

“RM 2760 bahagi seratus, hmmm.” Siti menekan-nekan butang kalkulator. Padahal congak pun boleh: RM 27.60.

“RM 27.60 …. ini Kos Jual sehelai tudung aku …”

Siti masih tak perasan. Bab ini memang ramai yang ‘lag’ sedikit. Biasa 5 saat baru akan tersedar signifikannya angka ini.

5…. 4…. 3…. 2…. 1….

“Eh, Kos aku RM 27, aku jual RM 25… aku rugi!!!”

Siti seperti tidak percaya. Mata beliau pantas menyemak semua angka-angka yang ditulis. Otak beliau laju mencongak mencari mana-mana bahagian yang tersalah kira.

Namun hampa.

Siti bangun dari kerusi menuju ke dapur. Melihat sinki yang baru sahaja kosong bersih hasil sesi cuci pinggan sebelum ini. Beliau ambil cawan dan minum air kosong sejuk dari dalam peti sejuk.

Cuba menenangkan jiwa yang bergelodak marah. Geram pun ada. Geram dengan kebodohan diri sendiri, tak nampak perkara semudah ini.

Perlahan-lahan beliau kembali ke meja makan.

Duduk atas kerusi, hirup lagi sedikit air kosong sejuk tadi. Renung skrin laptop yang nampak seperti semakin malap. Semalap masa depan bisnes kecil-kecilan beliau.

“APA YANG PATUT AKU BUAT SEKARANG”

Besar-besar beliau tulis ayat tersebut atas kertas tadi.

Buntu.

Beliau skrol paparan laptop, perasan yang penulis panduan tersebut sedia terima sebarang pertanyaan. Laju sahaja Siti buka facebook, search nama “Izwan Wahab” dan send message seperti berikut:

Siti: “Salam tuan. Saya jual shawl. Saya baru lepas kira CPS. Harga Jual saya lebih rendah daripada CPS. Short RM 1.60. Apa yang boleh saya buat?”

Nasib beliau baik kerana dalam masa kurang seminit dapat reply. Biasanya 24jam baru nak reply mamat tu. Mungkin kerana Siti ini ada iras-iras Nora Danish. Kah!

Izwan: “Pertama sekali: Naikkan harga kepada CPS + Margin yang kita mahu. Berapa Margin yang cikpuan nak?”

Siti: “Err, margin tu apa?”

Izwan: “Margin = berapa ‘untung’ yang cikpuan mahu untuk setiap shawl.”

Siti: “Oh, katakan saya mahu RM 10.”

Izwan: “Jadinya, harga jual yang patut cikpuan pakai adalah CPS + RM 10. Berapa CPS cikpuan?”

Siti: “CPS = RM 27.60, jadi harga jual sepatutnya: RM 37.60 lah?”

Izwan: “Ya betul. Tepat sekali~”

Siti: “Mahalnya tuan. Biasanya orang lain jual RM 25 sahaja. Macamana mereka boleh jual pada harga itu?”

Izwan: “Kemungkinan besar sebab CPS mereka lebih kecil daripada RM 25 lah. Sebabnya: mereka mampu jual lebih banyak unit berbanding cikpuan. Mungkin mereka jual 1000 unit. Katakan cikpuan dapat jual 1000 unit pada harga RM 25, berapa CPS cikpuan. Cuba kira”

Siti pun buat kira-kira baru. 1000 shawl maka Kos Produk = RM 15 x 1000 = RM 15000… Terkejut Siti. Banyaknya! Kos lain beliau biarkan sama. Hasilnya, kiraan CPS baru:

= ( RM 15000 + RM 1260 + 0 ) / 1000
= 16260 / 1000
= RM 16.26
~ RM 16.30

Siti: “Wah, CPS terbaru adalah RM 16.30 tuan!”

Izwan: “Yezza~. Sebab itulah mereka mampu jual pada harga tersebut. TAPI”

Lama Izwan terhenti pada TAPI di atas. Suspens Siti di buatnya.

Izwan: “TAPI, biasanya apabila unit terjual meningkat, kos overhead dan kos iklan pasti meningkat juga. Maka kena perhatikan dua kos tersebut betul-betul. Jangan sampai terlalu tinggi”

Siti: “Oh, mengapa pula jadi tinggi tuan?”

Izwan: “Sebabnya, kita perlukan pengiklanan barulah ramai orang akan beli produk kita. Maka kita sudah keluarkan Kos Iklan. Kita juga perlu tambah pekerja untuk uruskan 1000 tempahan tersebut. Takkan larat nak buat seorang diri!”

“Betul juga,” fikir Siti.

Izwan: “Dan ada satu perkara lagi yang biasa orang bisnes tidak masukkan dalam kiraan overhead. Satu perkara yang sangat-sangat penting!”

Izwan: “Iaitu…”

Lama lagi Izwan terhenti di situ. Sekali lagi Siti jadi suspens. Apa pulalah perkara tersebut. “Janganlah terkena pada aku pula!” Fikir Siti.

Izwan: “… Gaji Diri Sendiri”

Siti: “…. Aduh, memang saya tak masukkan gaji sendiri tuan. T___T. Ingatkan tak perlu ambil gaji lagi. Orang kata mula bisnes ni nak kena ikat perut.”

Izwan: “Walaupun kita tidak ambil lagi gaji tersebut, kita tetap perlu masukkan dalam pengiraan CPS. Barulah kita dapat kadar CPS yang betul untuk kita survive buat bisnes tersebut.”

Jari Siti menari-nari di atas papan kekunci. Tetapi tiada perkataan yang muncul di skrin FB Messenger tersebut. Tidak tahu mahu tulis apa.

Izwan: “Letak dahulu jumlah gaji yang kita mahukan. Letak dahulu overhead yang kita mahukan. Jumlah pekerja dan sebagainya. Sewa kedai dan sebagainya. Walaupun kita belum lagi ada semua tu.”

Izwan: “Jual dan bertindak sepertimana kita sudah ada semua tu. Jika hasil jualan tidak mampu bayar kos-kos ‘impian’ kita itu, kita perlu berhutang dahulu.”

Siti: “Saya tak faham, maksud tuan, masukkan dalam kos tetapi tak payah bayar? Macamana tu?”

Izwan: “Betul. Masukkan dalam pengiraan kos. Contohnya gaji sendiri. Masukkan dalam kos overhead. Jika jualan tak mampu tampung, atau kita nak pusing duit jualan jadi modal yang lebih besar, kita tulis dalam akaun yang bisnes tersebut berhutang gaji kita. Sampai masa nanti, bisnes kita perlu bayar semula gaji yang dihutang tersebut.”

Siti: “Oh, saya faham tuan! Maksudnya kita kira sepertimana yang kita impikan. Bayar atau tidak tu kita boleh nego-lah dengan diri kita sendiri.”

Izwan: “Tepat sekali!”

Siti tersenyum. Beliau sudah nampak jalan keluar dari kemelut ini.

Siti: “Terima kasih tuan. Saya akan kira semula CPS ‘impian’ saya dan adjust bisnes mengikut kos-kos yang sepatutnya ada untuk capai CPS ‘impian’ tersebut”

Izwan: “Sama-sama. Saya doakan bisnes kecil cikpuan maju jaya dan membesar dengan sihat.”

Siti: “Amin!”

Siti tutup skrin laptop tersebut. Ambil cawan air sejuk dan hirup sedikit. Beliau memandang ke tingkap luar dengan pandangan yang penuh harapan.

“Masih ada jalan untuk aku cuba. Nasib baik!”

 

Kini otak Siti lebih pantas mengira dan mencongak peluang survival bisnes dengan lebih tepat dan ‘saintifik’. Tidak lagi main agak-agak sahaja.

PESANAN PENAJA
Nota penting ini seeloknya disimpan untuk bacaan kemudian hari. Cara paling mudah: share nota ini di Facebook / Twitter tuan-puan sekalian. Senang nak baca lepas ini. Klik pada butang Facebook (dan lain-lain) di sebelah kiri paparan ini. Ia akan bantu tuan-puan share ke social media yang tuan-puan pilih.

Secara tidak langsung, rakan-rakan kita boleh turut baca juga!

Maklumat Penulis

Izwan Robotys adalah pengkaji dan penguji teknik dan strategi pelbagai perkara bisnes. Kajian dan ujian berbentuk hands on dengan disiplin dan perincian kejuruteraan. Fokus dalam menerangkan konsep bisnes kompleks dan abstrak dalam bentuk yang jelas dan terang.