NotaBisnes Koleksi nota-nota mahal tentang konsep, strategi
dan taktik untuk mula dan kembangkan bisnes kita
Perangkap Maut Berniaga Sendiri

Perangkap Maut Berniaga Sendiri

Berhati-hati kawan. Ini adalah perangkap yang membunuh kita dan bisnes kita secara perlahan:

Selepas melompat daripada makan gaji kepada hidup dengan bekerja sendiri, kita memang rasa seronok. Kita semakin seronok apabila perniagaan kecil-kecilan kita itu semakin berkembang dan mampu pula memberi pulangan sama banyak dengan gaji kita sebelum ini.

Namun, pulangan yang SAMA BANYAK dengan gaji kita sebelum ini itu sebenarnya adalah perangkap maut bagi yang berniaga sendiri.

Mengapa begitu?

Pulangan jualan kita itu sekadar cukup untuk menampung gaya hidup kita. Akibatnya perniagaan kita tidak mampu membesar. Perniagaan kita tidak mampu menggajikan orang. Perniagaan kita tidak mampu bergerak dengan sendirinya tanpa kita.

Perniagaan kita jadi mengikat masa kita. Kita pula jadi ‘bottle-neck’ perniagaan kita.

Sifirnya mudah. Jika keuntungan bisnes kita cukup sekadar menampung ‘gaya’ hidup kita, dari mana pula datangnya duit untuk kita gajikan pekerja. Sasaran pertama setiap bisnes sepatutnya adalah mengurangkan kebergantungan bisnes kita kepada kita.

Maksudnya, kita perlu buat sehingga jika kita tidak masuk kerja selama seminggu pun, bisnes tetap jalan seperti biasa.

Kita hanya mampu berbuat begitu jika kita ada sistem bisnes yang teratur dan SOP yang cukup dibantu oleh tenaga kerja yang dibayar gaji.

Maka, jika selama ini pulangan perniagaan kita hanya cukup untuk menampung gaya hidup, kita perlu kurangkan taraf gaya hidup kita, dan menambah aliran tunai baru, agar ada lebihan daripada pulangan setiap bulan itu.

Cara yang lebih kemas, adalah kita menggajikan diri kita sendiri. Ambil gaji tetap. Selebihnya harus dipusingkan semula bagi mengembangkan bisnes.

Itulah yang biasa disebut sebagai ‘ikat perut’ dalam berbisnes. Maksudnya kita ambil gaji yang sedikit agar wang pusingan menjadi besar. Semakin besar wang pusingan, semakin cepat perniagaan kita berkembang, semakin cepat kita dapat ambil gaji yang mewah!

Apabila kita sudah sedia ada bisnes sendiri yang menghasilkan pulangan yang stabil, kita harus fokus pada mengembangkan perniagaan.

Jika tidak, kita akan terperangkap dalam perniagaan kita sendiri.

PESANAN PENAJA
Nota penting ini seeloknya disimpan untuk bacaan kemudian hari. Cara paling mudah: share nota ini di Facebook / Twitter tuan-puan sekalian. Senang nak baca lepas ini. Klik pada butang Facebook (dan lain-lain) di sebelah kiri paparan ini. Ia akan bantu tuan-puan share ke social media yang tuan-puan pilih.

Secara tidak langsung, rakan-rakan kita boleh turut baca juga!

Maklumat Penulis

Izwan Robotys adalah pengkaji dan penguji teknik dan strategi pelbagai perkara bisnes. Kajian dan ujian berbentuk hands on dengan disiplin dan perincian kejuruteraan. Fokus dalam menerangkan konsep bisnes kompleks dan abstrak dalam bentuk yang jelas dan terang.